Thursday, 25 July 2013

Tazkirah Syawal 2 - Sedarkah kita makna di sebalik takbir raya yang dilaungkan???

Aidil Fitri hari kemenangan, kemenangan kita setelah sebulan berjaya menundukkan nafsu makan, nafsu syahwat, dan nafsu untuk melakukan pelbagai lagi sifat mazmumah yang ditegah.

Namun, kemenangan yang kita rayakan bukan setakat itu sahaja. Bahkan lebih besar dari itu, laungan takbir yang kita alunkan di hari raya ini adalah juga laungan pengakuan dan janji taat setia kita untuk tunduk dan patuh pada ajaran Islam sekalipun dibenci musuh, serta laungan kemenangan agama Islam ke atas musuh-musuhnya!!! Igatkah kita, bahawa Islam telah memenangi peperangan al-Ahzab / Khandaq yang sangat menyiksakan itu, juga pada bulan Syawal yang mulia ini...

Lafaz makna takbir...

Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia,
Kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir,
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal,
Yang Menepati janjiNya, Yang Menolong hambaNya,
Dan Yang Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (KekuasaanNya),
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah.

Justeru, apakah kita hanya berseronok melafazkan takbir raya tersebut hanya pada hari raya, dan kemudian kita melupakan janji kita untuk tunduk dan patuh pada ajaran Islam selepas itu? 

Apakah kita hanya berasa cukup dengan kemenangan menahan lapar dan dahaga, hingga kita lupa untuk mengejaar kemenangan menentang musuh-musuh Allah yang lain???


Tazkirah Syawal - 1 (Kemenangan dalam Islam harus diiringi Laungan Takbir!!!)

Aidil Fitri adalah hari kita merayakan kemenangan kita dalam mengembalikan diri kita kepada asal usul kita, kepada fitrah kita sebenar, yakni fitrah kita sebagai hamba, hamba yang mutlaq kepada Allah Subhanahu waTaala. Justeru, merayakan kemenangan ini juga adalah ibadah, kerana ia lambang kesyukuran kita kepada Allah yang memberi peluang kepada kita untuk mengecapi kemenangan ini.

Sebagai satu ibadah, maka perayaan ini tidak boleh disertakan dengan kemaksiatan, bukan dengan hiburan melampau seperti dalam kebanyakan siaran televisyen, bukan dengan keseronokan berjalan ke sana sini bergandingan dengan rakan-rakan yang bukan mahram, dan seumpamanya. 

Merayakan kemenangan dalam Islam, adalah dengan cara MEMBESARKAN ALLAH dengan laungan takbir ALLAHU AKBAR!!!

Dan supaya kamu menyempurnakan puasa di hari-hari Ramadhan, lalu kamu hendaklah membesarkan Allah dengan takbir dan tahmid kerana telah mendapat petunjuknya di bulan Ramadhan. Semoga kamu bersyukur. (al-Baqarah : 185)

Hiasilah hari raya kamu dengan laungan Takbir membesarkan Allah. (at-Tabrani)


Wednesday, 24 July 2013

JIHAD DAN PUASA

PUASA BUKAN SEKADAR JIHAD NAFSU...

Hampir sebahagian besar kita lupa, bahkan mungkin tidak tahu, bahawa ibadah puasa ini difardhukan pada tahun diwajibkan berjihad kepada kaum muslimin iaitu dalam perang badar (Falsafah Ibadah Dalam Islam, Sayyid Muhamad Qutb). Puasa pada waktu itu merupakan sebahagian latihan ketenteraan yang memerlukan ketabahan dalam menanggung kesusahan dan menghadapi kesulitan. Latihan ini juga terlibat secara menyeluruh ke atas setiap muslim lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang tua.
Justeru, puasa bukanlah bulan untuk kita sentiasa berasa lemah badan, lemah jiwa, atau menjadi bulan untuk berehat dalam banyak perkara. 

Sebagai ummat Islam dalam sebuah negara Islam (pengikut pengakuan Perdana Menteri sendiri), kita harus berwaspada terhadap kaum-kaum lain yang Allah nyatakan tidak pernah redha akan kita. Melihat pada pergolakan demi pergolakan di negara-negara Islam, pada bila-bila masa, mungkin seruan jihad akan berkumandang juga pada suatu masa di negara kita.

Maka di saat itulah, keazaman, kesabaran, dan ketabahan hati yang kita tempuhi dengan penuh khusyuk di bulan Ramadhan selama ini dapat menjadi latihan dan persediaan buat kita apabila tiba masanya...

BERAPA BANYAK YANG SIA-SIA...

Tipudaya syaitan sangat halus... hembusan nafsu juga terlalu halus... Bahkan manusia sering tertipu dengan kedua-duanya. 
Manusia menyangka mereka beramal, namun rupanya amalan mereka tidak diterima... Manusia menyangka mereka ikhlas, rupanya keikhlasan mereka masih ditapis. Justeru, haruskah kita berasa cukup dan berasa bangga dengan segala ibadah kita selama ini... Teruskanlah beramal tanpa memilih amalan, keranan kita tak tahu amalan mana satu yang membawa kita kepada kasih sayang dan keredhaan Tuhan...

Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi saw bersabda: “Berapa banyaknya orang yang berpuasa tetapi yang diterimanya hanyalah lapar dahaga, dan berapa banyaknya orang yang bangun beribadah, dan yang diterimanya tiada lebih dari keletihan sahaja.” (Diriwayat oleh An-Nasai’e dan ibnu Majah)

AMBANG SYAWAL DAN HARI KEMERDEKAAN - KEMERDEKAAN HAKIKI



Kemerdekaan hakiki.

Menurut Ibnu Taimiyah:
Orang yang terpenjara adalah orang yang hatinya dihalangi dari Tuhannya, sedangkan orang yang ditawan adalah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya

Kita tidak minum dan makan di bulan Ramadhan meskipun tiada orang melihat, kita tidak menyentuh isteri kita meskipun dia halal buat kita, semuanya kerana ketaqwaan, yakni takutkan Allah semata-mata. Kita tidak terpenjara atau tunduk kepada nafsu kita, sebaliknya kitalah yang menjadi tuan kepada nafsu. 

Di bulan Ramadhan, kita menjadi hamba yang bebas dan merdeka daripada ketakutan selain Allah, sewajarnya setelah habis Ramadhan, kita juga boleh terus kekal menjadi hamba yang merdeka jiwanya daripada perhambaan selain kepada Allah. Tidak takut dengan sebarang ancaman untuk meninggalkan kemaksiatan, kejahatan dan kezaliman, juga tidak terikat dengan sebarang ugutan dan larangan untuk melakukan kebaikan dan keadilan. 


Itulah jiwa medeka yang seharusnya lahir hasil daripada madrasah Ramadhan..

Tuesday, 23 July 2013

RAMADHAN... BEKALAN UNTUK APA???


Firman Allah s.w.t. bermaksud:“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah:183)

Ibadah puasa adalah untuk melahirkan hamba yang bertaqwa. Sedang taqwa pula adalah bekalan yang paling utama untuk dibawa menghadap Tuhan kelak.

“… bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa…” ( Az-Zariyat:197)

Selain daripada mengumpul bekal menghadap Tuhan di hari akhirat, Ramadhan juga adalah bulan mengumpul bekal untuk menjalani 11 bulan yang lain selepasnya. Andai di bulan Ramadhan pun kita malas mengerjakan ibadah-ibadah sunat seperti membaca al-Quran, qiamullail, dan solat-solat sunat yg lain....
....apatah lagi di bulan-bulan lain yang tidak ada rahmat khusus dari Allah, yang dipenuhi dengan hasutan syaitan yang berkeliaran, yang dipenuhi dengan kesibukan menyedia atau mencari makanan untuk sarapan, tengahari, petang, dan malam, tentulah lebih sukar lagi untuk kita mengerjakannya.....

Justeru, persiapkanlah bekal kita sebanyak-banyaknya sebelum bulan yang penuh rahmat dan kemuliaan ini menutup tirainya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis