Thursday, 21 June 2012

Abangku Seorang Musleh. Teruslah Membantuku Wahai Abang.

ABANG yang aku kenal sebelum ini hanyalah seorang peguam. Pada pandangan aku pada waktu itu, dia seorang yang berwibawa. Walaupun aku rasa dia sebenarnya tak lah sehebat manapun, tapi dia ada aura tersendiri. Aku pernah mengikutinya ke mahkamah beberapa kali, tapi tak nampakpun kehebatan dia berhujah atau apa sebagai peguam. Namun, cara jalan, cara cakap, dan penampilannya menampakkan kewibawaannya. Begitulah, Allah menampakkan hebat sesiapa yang Dia kehendaki, dan menjatuhkan sesiapa yang Dia kehendaki. Ada jugalah beberapa kawan aku yang meminati dan mengaguminya dalam diam. Tapi aku pun diamkan tak bagitau dia, sebab dia pun dah berkahwin. :-)

Kami tak lah serapat mana, tapi, sejak dulu, abang dah banyak bagi nasihat pada aku adiknya yang tak berapa nak solehah sangat ni. Antara teguran abang yang paling aku ingat sampai ke hari ini, ialah ketika aku menalefon ayah di pejabat. Sewaktu kawan ayah yang menjawab panggilan itu, akupun berkata, "Pakcik, nanti bagitau ayah, suruh dia ambil saya cepat sikit hari ni," Pada aku, aku dah cukup sopan dah masa tu, kerana bercakap dengan nada lembut dan intonasi sopan. Tiba-tiba abang yang kebetulan ada di meja telefon menegur, "Lain kali janganlah guna perkataan suruh... gunalah perkataan mintak tolong, kan lembut sikit." Masa tu bagai terjaga dari mimpi rasanya. Maklumlah, selama ni aku ingat aku dah cukup lemah lembut dan baik, rupanya barulah tersedar masih ada kecacatan aku di mata abang. Sejak itu, aku lebih berhati-hati dan sopan dengan ayah :-).

Walaupun kami tak rapat, ada masa-masanya kami saling berkongsi cerita antara satu sama lain. Maka pada suatu hari, entah macamana, abang bertanya tentang "teman istimewaku". Apa lagi, akupun membuka dompet lalu menunjukkan sekeping gambar wajah seorang lelaki idaman aku. Abang tengok dengan ekor mata je. Kemudian dia memanggil aku masuk ke biliknya. Dia minta tengok semula gambar tersebut. Tiba-tiba, abang meminta aku menimbangkan semula untuk meneruskan hubungan aku dengan orang dalam gambar tu. Aku minta alasan, lalu kata abang, orang dalam gambar tu nampak tubuhnya macam besar, tak sesuai dengan aku. Bersungguh-sungguh abang yakinkan aku, bahawa pernah terjadi kes penceraian kerana lelaki jauh lebih besar daripada perempuan, dan menimbulkan masalah dalam hubungan suami isteri. Masa tu aku tak faham. Tapi oleh kerana abang pakar dalam masalah rumah tangga, abang cerita yang dia terpaksa dan pernah menyelesaikan masalah suami isteri sejak dia bujang lagi (sebab dia dah masuk kerja sebelum kawin), maka akupun ikut jelah nasihat abang. Sekarang baru aku tau apa maksud abang :-).

Masa berlalu begitu pantas. Tahun demi tahun, aku dan abang semakin renggang. Tuntutan masa, keluarga, dan kerjaya menjarakkan kami. Namun, sekarang, aku dan abang semakin akrab semula. Walaupun bukan dalam erti kata sering bertemu dan berbual, namun apabila aku punya masalah, aku selalu merujuk pada abang... dan abang, masih seperti abang yang dulu, seorang abang yang suka menasihati, dan seorang abang yang sangat aku hormati dan sanjungi. 

Biar bagaimana hebatpun masalah aku, abang tak pernah sekalipun menjatuhkan semangat aku. Walaupun dalam sesetengah perkara aku tau abang juga tak berapa pasti, namun dia selalu memberi keyakinan dan harapan yang pasti dalam setiap jawapannya. Dia selalu menggambarkan yang positif, dan mengaitkan setiap masalah aku dengan agama / keTuhanan. Dia tak pernah mencemuhku, tak pernah bosan mendengar luahanku, dan tak pernah tidak menjawab soalan atau pengaduanku. Aku tak mahu memuji akan keikhlasannya, kerana dalam hatinya hanya dia dan Allah saja yang tahu, mungkin dia bosan, mungkin dia menyampah, itu aku tak tau, yang aku puji adalah sifatnya yang terzahir di pandangan mataku.

Aku pernah rasa sedih dengan hinaan orang, maka abang mengingatkan bahawa untuk melakukan sesuatu yang baik memang selalu diuji. Aku pernah menangis kerana manusia, maka abang menegurku, bahawa tindakan aku yang banyak menangis kerana manusia adalah salah, kerana orang soleh lebih banyak menangis kerana Tuhan. Aku pernah mengomel dan merampus-rampus marah akan seseorang, terus abang ingatkan aku bahawa hari itu hari Jumaat, tak baik merajuk pada pagi hari yang mulia. Tak pernah abang menegur aku dengan kasar atau bahasa yang menyinggung. Abang selalu menegur dengan ayat yang "memalukan" aku, dengan erti kata lain, abang berjaya buat aku "malu" pada diri sendiri, dan sedar akan kesilapan, kealpaan, dan kelemahan diri. Yang lebih best, kalau aku geram atau tak puas hati dengan seseorang, abang suruh aku luahkan semuanya, dan abang sanggup untuk tegur dan nasihat orang tu (tapi aku tau, abang dengan orang tu pun berhikmah juga). 

Dan yang terkini, aku amat malu pada abang sebenarnya. Setelah acap kali abang menegur aku, membetulkan aku, menyedarkan aku, menasihati aku, namun aku masih hanyut dengan kealpaan, terpaut pada nafsu mazmumah yang tak pernah nak berubah. Dua hari lepas, sekali lagi aku melahirkan rasa kemarahan dan kekesalan terhadap seseorang, tapi abang betul-betul menukar darjah emosiku dengan pantas. Jawapan abang membuatkan aku tertawa, kerana rasa bagai diperli, dan kemudian tersenyum simpul malu pada diri sendiri. Jawapan abang membuatkan kemarahan aku pada orang tersebut lenyap malah bertukar kasih yang lebih mendalam, dan pujian abang juga (dalam bentuk perlian) membuatkan aku bertekad untuk memiliki mahkota itu... mahkota orang-orang yang berhati lembut... dan makhota itu adalah kesabaran!!!

Abang, terima kasih atas segalanya. Abang banyak mengislahkan saya, dan mengislahkan hubungan saya dengan insan-insan di sisi saya. Tahukah abang, kami masih, dan sentiasa memerlukan abang. Bantuan abang adalah kekuatan pada kami. Kalau abang tinggalkan kami, adikmu ini tak tahu apa akan jadi pada kami. Abang.... teruslah mengislahkan adikmu ini, dan tolong teruslah membantu kami. Tolonglah... tolong jangan tinggalkan kami terkapai-kapai... tanpa bantuan dan kekuatan semangat darimu. Mudah-mudahan Allah permudahkan segala impian adikmu ini, dan juga impianmu! Terima kasih abangku, akhil kariem...

Sunday, 3 June 2012

NILAI DOA DI SISI ALLAH... Berdoalah, ianya ibadah yang sangat mudah...


Doa tanda kehambaan...
HIDUP ini bukan sekadar menikmati kegembiraan yang sedang kita kecapi, hidup ini bukan sekadar melalui jalan yang sedia terbentang di hadapan kita, hidup ini adalah untuk mengingati Allah sepanjang masa, dan menyedari bahawa kita adalah hamba yang sedang menumpang di bumi-Nya. Bermula daripada terbukanya mata di pagi hari, hinggalah memejamkannya semula di malam hari. Namun, dalam kesibukan dunia yang menuntut kita melaksanakan tanggungjawab harian, selain daripada masa yang digunakan untuk mendirikan solat 5 waktu, kita kadangkala seolah-olah tak punya masa untuk mengingat Tuhan, sama ada mengingatiNya di dalam hati, ataupun menyebutnya dengan lisan. 

Kerana itulah, Rasulullah saw mengajarkan kita doa untuk setiap perlakuan harian kita, agar dengan itu, kita akan mengingati Tuhan dalam setiap tindakan kita. Bermula dari bangun tidur, kita diajarkan dengan doa, kemudian doa untuk masuk tandas, doa keluar tandas. Lalu untuk makan kita diajarkan lagi doa, doa lagi selepas makan. Selesai wudhuk membaca doa. Bersiap untuk ketempat kerja kita diajar membaca doa ketika melihat cermin, berdoa ketika ingin memakai baju, berdoa ketika melangkah keluar, berdoa tatkala menaiki kenderaan. Doa ketika ingin memasuki rumah, hinggalah berdoa tatkala kita ingin memejamkan semula mata kita di saat ingin tidur. Tetapi, adakah kita mengambil berat akan doa-doa yang diajarkan baginda? 

Adakah doa hanya untuk kanak-kanak???
Kita melihat, anak-anak yang dihantar ke tadika, ke sekolah, selalu pulang dan membaca macam-macam doa yang baru mereka pelajari di sekolah. Kita seronok apabila mereka mampu menghafal doa-doa tersebut. Kita terhibur apabila mendengar suara mereka berdoa dengan maknanya sekali, sesekali tersasul dan tersalah baca membuatkan kita ketawa. Kita bangga apabila mereka memasuki pertandingan membaca doa-doa mewakili sekolah mereka. Sedarkah kita, adakah doa itu hanya mainan untuk kanak-kanak seusia mereka? Adakah doa itu sekadar untuk dihafalkan bukan untuk diamalkan? Adakah doa itu sekadar untuk dipelajari bukan untuk dihayati? 

Seronoknya berdoa bersama anak-anak...
Pelajarilah, hafallah, amalkanlah, dan hayatilah..... Pelajarilah maknanya, agar di saat kita berdoa, kita tahu apa yang kita ucapkan, agar kita dapat menghayati maknanya. Sedarlah, hidup kita ini adalah untuk mengingati Allah sepanjang masa. Ajaklah seluruh ahli keluarga untuk sama-sama mengamalkannya. Insya Allah, andai kita membiasakan diri kita dengan berdoa dalam  setiap tindakan yang kita lakukan, kita akan selalu tersedar dari kelalaian dan akan sentiasa teringat akan Tuhan Pencipta kita. Islam itu adalah agama dan cara hidup, Islam itu fitrah, hiduplah dalam suasana Islam, dalam suasana yang hati kita sentiasa mengingat akan Tuhannya....

Percayalah, hidup kita akan berasa indah andai kita melaksanakan doa-doa ini. Cubalah sekali, anda menadah tangan di depan pintu bilik air sebelum melangkah masuk, cubalah sekali, anda menadah tangan sebelum memulas kunci kereta untuk start enjin. insyaAllah, anda akan merasakannya!!! 

Merasai indahnya hidup bersama Tuhan.................................



SUNNAH. Haruskah Kita Memilih...


APAKAH ada ajaran Nabi Muhammad saw yang hanya sebagai ajaran sampingan? Tidak!!! Semua yang diajarkan baginda saw itu, punya nilai yang tinggi untuk kita amalkan, punya tanda tersendiri sebagai mengukuh sifat kehambaan, punya nilai tersendiri di sisi al-Rahman. Namun, manusia sering membanding-bandingkan, lalu memberi hujah untuk menyokong apa yang mereka lakukan, dan meremehkan sebahagian ajaran yang tidak mereka lakukan. Ada sunnah yang bersemangat mereka laksanakan, ada sunnah yang di anggap remeh dan tak perlu mereka lakukan.

Maka timbullah perdebatan, sebahagian golongan yang sibuk mengamalkan sunnah-sunnah seharian seperti memberus gigi dengan kayu sugi, bersiwak setiap kali ingin solat, makan di dalam talam, pakai capal Nabi, dan mempertikaikan golongan yang sibuk berbicara pasal pembentukan negara tapi sunnah yang kecilpun tak mampu nak dilaksanakan. Sebahagian golongan pula sibuk mengejar sunnah yang sangat besar, kepimpinan Islam, negara Islam, pemerintahan Islam, dan mempertikaikan golongan yang sibuk mengamalkan sunnah yang remeh temeh sahaja tanpa ingin melibatkan diri dari sunnah yang lebih besar dan penting. 

Mengapa hingga timbul perbalahan sebegini, sedangkan hakikatnya kedua-dua sunnah adalah ajaran Islam yang satu, yang kedua-duanya dituntut untuk diamalkan. Adakah perlu sempurnakan sunnah yang kecil baru nak berjuang untuk yang lebih besar? Atau adakah nak tunggu yang besar dah berjaya baru mudah nak lakukan yang kecil? Pastilah jawapannya tidak. Islam itu syumul, mengapa kita membatas-bataskan, mengapa kita menyekat-nyekat, mengapa kita membeza-bezakan...

Tidak ada satupun ajaran yang Rasulullah saw tinggalkan sekadar untuk menjadi sejarah, tidak ada satupun ajarannya yang sia-sia, tidak ada satu sunnahpun yang hanya untuk diperdebat... semuanya adalah untuk kita amalkan, sebagai tanda kecintaan kepada baginda saw, juga sebagai tanda kehambaan kita kepada Allah Azza WaJalla...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis