Friday, 30 March 2012

KEMANGKATAN RAJA ASHMAN. BAGINDA DALAM KENANGAN

Yang dikasihi bersama yang dikasihi...
AL-FATIHAH. Berita kemangkatan baginda ini saya terima agak awal pagi. Namun, saat penyampai berita itu menyebut nama baginda, saya masih ragu-ragu, hinggalah saya bertanya semula nama yang disebut oleh penyampai itu, barulah saya tersedar dari ketidakpastian itu. Kehilangan. Hanya itu yang dapat menggambarkan perasaan hati saya. Bernaung di negeri bawah kerajaan ayahanda baginda, negeri Perak Darul Ridzuan, saya  hanya mengenali baginda sebagai seorang anak raja, namun ia tidak pernah memberi kesan kepada saya untuk mengenali baginda dengan lebih mendalam. Namun, kali pertama melihat wajah baginda di kaca televisyen semasa majlis perkahwinan baginda (seingat saya umur saya masih di awal kanak-kanak), saya sedikit "tertarik" melihat wajah baginda yang berjanggut. Maaflah, saya memang sensitif melihat janggut, saya sangat suka pada makhluk yang namanya janggut... :-) Waktu itu, terus terdetik di hati saya, baginda mesti seorang yang anak raja yang istimewa. Hari berganti bulan berganti tahun, sejak itu saya tak pernah lagi mendengar tentang baginda. Maklumlah, waktu itu usia saya masih terlalu mentah untuk ambil tahu.

Sehinggalah, saat saya semakin dewasa dan berniat untuk mencari seorang guru rohani pembimbing jalan menuju Tuhan, barulah saya mengenali baginda sekali lagi. Kali ini, saya semakin hampir dengan baginda. Kadang-kadang, "kenangan" kita bersama seseorang tak mampu kita gambarkan dengan kata-kata mahupun tulisan. Perasaan adalah sesuatu yang terlalu abstrak, hingga tidak berwajah, sehingga, apabila kita tak mampu nak gambarkan dengan kata-kata, maka kita memilih untuk tidak menggambarkannya langsung. Kita takut, gambaran yang tidak sempurna itu akan mencacatkan kenangan  yang ada di hati kita. Begitulah saya. Meskipun saya hanya sempat "bertemu" tetapi tidak sempat "berjumpa", sifat kasih dan penyayangnya sempat saya rasai, terlalu dalam meninggalkan kesan di hati ini. Saya tahu, bukan hanya saya, pasti ramai lagi murid-muridnya baginda  akan menyimpan kenangan sifat penyayang baginda itu di dalam hati mereka sepanjang hayat yang ada, insya Allah. Tawadhu'nya, senyumannya, perhatiannya, pemurahnya, pelukannya, nasihatnya, pasti akan terus segar di hati anak murid, sahabat, dan saudara yang sentiasa mengasihinya kerana Allah... Al-Fatihah...

Saat saya hampir pergi menemuinya, rupanya taqdir Allah berbeza dari keinginan kita. Kita ingin memilih untuk pergi, tetapi Allah menetapkan untuk didatangi... Dalam saat-saat itu, saya bertemu Syeikh Rohimuddin Nawawi al-Bantani, dan akhirnya, lebih setahun kemudian, saya berbai'ah dengan Syeikh Yusuf al-Hasani al-Bakhour, Syadziliyah, bukan Naqsyabandiyah... Kata Syeikh Rohim, seorang doktor hanya membantu pesakit untuk sembuh dengan berikhtiar menunjukkan ubat yang mana yang patut dan sesuai diambil oleh pesakit untuk sembuh. Walau sehebat manapun doktor, kalau pesakitnya tiada usaha untuk melawan penyakit, dan malas makan ubat yang diberi oleh doktor, tetap tidak akan sembuh. Begitulah juga seorang murid yang sakit, sehebat manapun gurunya, tetapi kalau murid itu sendiri tidak berusaha untuk memperbaiki diri, dan tidak beramal dengan wirid dan ajaran yang diberikan gurunya, sampai bilapun dia tidak akan sampai kepada Tuhannya.

Buat akhirnya, meski ada kenangan yang tak terkongsikan, tetapi satu kegembiraan, Syeikh Raja meminati warna ungu, sama seperti warna kegemaran saya. Saya pernah melihat jubah baginda bewarna ungu, malah baju songket diraja baginda pun ada warna ungu... Seronok kan, bila kita punya persamaan dengan insan yang kita hormati dan sayangi... AlFatihah sekai lagi buat baginda Raja Ashman...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis