Tuesday, 31 January 2012

ITTIBA' RASUL SAW. DICINTAI ITU LEBIH MEMBAHAGIAKAN. PILIHLAH UNTUK DICINTAI.


“Katakanlah, jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, maka Dia akan mencintai kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian.” (Aali ‘Imran: 31)
 
ALANGKAH INDAHNYA saat bercinta, kalau si dia mencintai kita. Tanpa meminta, si dia selalu sahaja memberi. Tanpa mengadu, si dia sentiasa sahaja memberikan perhatian. Si dia tak akan membiarkan kita berpenat lelah, kita sentiasa ditatang bagai minyak yang tak mahu tertumpah... Tetapi, alangkah peritnya cinta, kalau kita yang mengejar si dia, sedang dia belum pasti meyintai kita. Kalau kita sering meminta, mungkin saja dia kan bosan, kalau kita selalu mengadu, mungkin saja dia kan jemu. Kitalah yang berpenat mengejar cintanya yang tak pasti, sedangkan dia satu sen pun tak rugi... Itulah bezanya mencintai dan dicintai, maka... cinta yang manakah yang kita kejari...

Begitulah putarannya antara cinta kita, cinta Allah, dan cinta RasulNya. Kita mengejar cinta Allah, dan dalam perjalanan mengejar cinta itu, kita belum pasti adakah Allah menerima kita atau tidak sebagai kekasihnya, dan adakah Allah sudi membalas cinta kita atau menolaknya.. Menerima cinta kita saja belum pasti, inikan pula mengharap balasan cinta dariNya, siapakah yang berani menjamin bahawa diri mereka pasti mendapat cinta Allah atau bisa menjadi kekasih Allah...??? Mempersembahkan ibadah kepadaNya tanda cinta, ibadah itu saja banyak hisabnya, apakah sempurna, apakah ada cacat cela, apakah ikhlas, dan sebagainya. Belum dikira lagi dengan dosa dan maksiat yang tak dapat kita hindari. Dosa yang jelas, dosa yang tersembunyi, dosa meninggalkan suruhan, dosa melakukan larangan, dosa sesama insan, aduhai, terlalu banyak dosa, adakah kita masih boleh diterima untuk dicintai oleh Allah...

Namun, nun di sana... ada satu cinta yang dapat menyelamatkan kita semua. Cinta Allah kepada RasulNya, kekasihNya, habibullah Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam. Dengan cinta Allah kepada kekasihNya Nabi Muhammad, maka kita semua turut mendapat rahmatNya yakni kecintaanNya. Benarlah Muhammad itu rahmat bagi seluruh alam. Kerana kasihNya Allah pada Nabi Muhammad saw, maka Allah sendiri memberi janji yang pasti, menyerahkan cintaNya kepada sesiapa sahaja yang mengikuti Nabi Muhammad saw. Nah... sekarang, mengapa kita mencari jalan jauh untuk menggapai cinta Allah, mengapa kita mencari jalan penat untuk mencapai cinta Allah, mengapa kita perlu bersusah payah mengejar cinta Allah, sedangkan Allah telah menyediakan pintu gerbang untuk kita masuk ke daerah cintaNya itu... dan pintu gerbang itu, adalah junjungan kita Nabi Muhammad saw.... Tidak ada pintu lain selain daripada baginda, jadi mengapa kita harus bongkak dan angkuh untuk mengejar cinta Allah bersendirian tanpa melalui wasilah baginda saw???? Bahkan dengan mengikut (ittiba') kepada Nabi, kita bukan sahaja mendapat cinta Allah, malah dosa-dosa kita terampun secara automatik (dengan sebab rahmat cintaNya itu). Maka, nikmat cinta yang mana lagi yang ingin kita pertikaikan...

Begitulah keadaannya kita dalam mencintai dan dicintai oleh Allah. Pilihlah untuk dicintai oleh Allah, kerana mengejar cinta itu memenatkan, tetapi mendapat anugerah cinta itu sangat membahagiakan....kerana mencintai itu memenatkan, sedangkan dicintai itu lebih membahagiakan....

Thursday, 26 January 2012

HIKAM - Salam Mawlidul Rasul

"Cinta memberikan 1001 kebaikan kepada yang mencintai dan dicintai... Semoga kita meletak cinta Rasul di tempat tertinggi selepas Allah Rafiqul A'la, dan semoga kita juga berada di tempat tertinggi dalam hati baginda, sebagai ummat yang dicintainya, sebagai ikhwan yang sering dirinduinya sehingga para sahabat sendiri berasa cemburu dengan "kerinduan" itu... Amin ya Arhamar Rahimin..."

Wednesday, 18 January 2012

PAKCIK DAN MAKCIKKU. Ayah Alang (Saifuddin al Jamalullail)


Poligami indah yang
berlegar di sekitarku...

Dalam keluarga ayah, ayah cuma ada 2 adik-beradik lelaki, ayah, dan adiknya yang nombor 3, ayah alang. Aku dan semua keluarga ayah dan mak memang rapat. Tinggal lagi, jarak yang mungkin menjurangkan kemesraan antara kami. Begitu jugalah dengan keluarga ayah alang, mungkin tidak serapat aku dengan keluarga enda dan cuin. Aku jarang bercerita tentang keluarga ayah alang kepada teman-temanku. Sebegitu ramai kawan-kawanku yang mengenali cuin dan enda, mungkin tiada seorang pun yang mengenali ayah alang. Namun, ada satu sentimental value dalam hubungan aku dengan keluarga ini.

Dulu, semasa keluarga ayah alang masih dalam al-Arqam, dan kami masih menetap di KL, aku selalu ikut maklang pergi pengajian di Sg. Penchala dan Kg Pandan. Meskipun waktu itu umur aku terlalu kecil rasanya, tapi aku masih ingat lagi suasana di situ. Memanjat tangga naik ke rumah kayu untuk mendengar pengajian Ustaz Asyari, semuanya hanya wanita di situ, mendengar dari corong pembesar suara. Sebaik selesai pengajian, apabila turun, wahh, penuh melaut ku lihat manusia, dengan berjubah dan beserban, serta wanita yang berpurdah berjubah dan bertudung hitam. Anak-anak kecil perempuan comel dengan bertudung ikat di kepala, manakala kanak-kanak lelaki dengan jubah pendek dan serban kecil melilit di kopiah... comel, sungguh comel! Banyak juga kopiah anak-anak yang dikait dengan tulisan "anak soleh", memang menarik pemandangan sebegitu. Hanya aku yang rajin mengikut, sedangkan kakakku tidak.

Selepas berpindah ke Taiping, tiap kali cuti panjang hujung tahun, mak dan ayah pasti pergi bercuti lama bersama keluarga Nda Yong (adik ayah yang nombor 4). Ke rumah ayah alang dan seorang lagi adik bongsu mereka. Biasanya, kakak saja yang ikut, kerana aku perlu tingal untuk menemani nenek menjaga adik istimewaku. Hanya aku yang tahu menyuap makan adik,selain daripada emak. Hinggalah pada satu tahun, aku bersuara melahirkan keinginan aku untuk ikut mak dan ayah pada tahun itu. Akhirnya mak dan ayah setuju. Tapi apabila sampai di KL, mak hanya duduk 2 3 hari saja, berbanding sebelumnya yang duduk seminggu lamanya. Mak balik awal kerana bimbangkan adik. Nda yong pun ikut mak balik sebab dia tak best bercuti tanpa mak. Mak suruh aku tinggal lama sikit sebab ini pertama kali aku bercuti ke KL.

Masatu aku rasa nak menangis, apalah ertinya aku tinggal di KL tanpa berseronok dengan mak, sedangkan masa kakak dulu, tiap kali balik dari KL, dia akan cerita macam-macam, bermain dengan anak nda yong ke sana sini, bershopping di Sogo, Globe, berkelah di Bukit Belacan... sedangkan aku, hanya datang, dan akhirnya ditinggalkan keseorangan. Tapi, aku hanya angguk bila mak suruh aku tinggal dan duduk di KL puas-puas, walaupun hati aku menagis, tapi itulah aku sedari kecil, tak pernah nak tunjukkan tangisan dan kesedihan kepada sesiapa.

Akhirnya, aku tinggal di rumah ayah alang. Itulah nilainya ayah alang dalam hidup aku. Kenangan yang aku takkan lupa, tak tahulah kenangan manis atau sebaliknya, tapi ia tetap sebagai permulaan kenangan indah hubungan aku dengan ayah alang. Aku menghabiskan cuti dengan membontoti ayah alang dalam rutin hariannya. Setiap hari, akan ada budak-budak datang mengaji di rumah ayah alang. Aku masih ingat, yang perempuan bersolat jemaah berimamkan maklang. Semua budak-budak solat laju, kadang-kadang pergerakan mereka mendahului imam. Selesai solat, maklang tegur dan marah, maklang ceritakan bagaimana seharusnya solat sebagai makmum. Tapi maklang asyik memandang ke muka aku. Aku memang tak puas hati, aku solat punyalah tertib, tak tahu kenapa maklang asyik pandang aku...

Kemudian maklang mula mengajar mengaji. Aku orang pertama yang kene baca, hmmm, tak pasal-pasal aku jadi murid mereka sekali. Tapi, alhamdulillah, darjah 3 rasanya waktu tu (andaian je, kerana aku kurang ingat, peristiwa lama dan masih kecil pulak tu), aku mengaji al-Quran dengan lancar. Tiba-tiba, aku disuruh tolong ajar yang lainnya. Aku malumalu lah juga, badan budak-budak tu besar-besar daripada aku, tapi aku ajarlah juga. Rupanya, selain menjadi murid, aku juga menjadi guru :-). Aku masih ingat, petang itu, aku tegur maklang tentang bacaan qawaariira... Maklang pun tanya ayah alang, dan ayah alang mengiyakan kata-kata aku... Masa tu, aku seronok sangat, maklang dan ayah alang ibarat kawan dalam berbincang hal ilmu, mereka boleh menerima, sedangkan waktu itu aku masih budak hingusan.

Kemudian aku ikut ayah alang hantar budak-budak tu balik dengan van... Ya Allah, jauh-jauh rumah mereka. Aku hairan kenapa hanya untuk mengaji perlu ambil budak jauh-jauh, berhantar berambil pulak tu, tapi aku tak pernah tanya. Hinggalah satu hari, van rosak, tengah pasnas pulak tu... hanyaTuhan je yang tau.. Akupun tersadailah bersama budak-budak tu sementara nak tunggu makanik baiki. Ada kedai di situ, dan ada seorang budak mengaji tu (lelaki), dia beli air... budak lain cuma tengok jer... Dia pun kesian, lalu bagilah budak lain minum sama, tapi bila dia nak minum semula, dia akan terbalikkan straw sebab taknak minum bekas mulut budak-budak tu. Tapi kemudian dia bagi aku minum dan kemudian dia minum di straw yang sama... Ingat lagi, budak-budak semua bising, dan mulalah mereka gosipkan aku dengan dia... Kelakar, kan budak-budak.. Entah di manalah sekrang abang tu...

Itulah rutin seharian aku bercuti di KL bersama ayah alang... Masa tu rumah ayah alang ada 3 bilik. Bilik depan tempat barang-barang, bilik tengah tempat maklang dan anak-anak, bilik belakang tempat ibu (isteri kedua ayah alang). Bilik ibu kecil sikit, kerana anak ibu hanya seorang, maklang masa tu dah ramai. Kadang-kadang aku tidur bilik maklang, kadang-kadang bilik ibu. Bila giliran ibu masak, aku selalu tolong, kupas kulit bawang je la, kan budak-budak lagi, mana tau buat lebih-lebih. Tapi aku mesti duduk jekat dapur tu temankan ibu memasak sampai siap. Tak tahulah kenapa. Kalau maklang masak aku tak tolong, sebab maklang selalu suruh aku pergi depan bila dia nak masak.. :-) Mungkin dia takut aku kacau kot... :-). Semasa duduk di situlah, ibu ajarkan aku bagaimana nak pakai tuala kecil ikat kepala sebagai anak telekung. Bermula saat itu, aku lebih selesa pakai tuala kecil berbanding serkup kepala. Dan malam-malam pula, maklang temankan aku bermain lego dengan anak-anaknya, takut aku boring dan menangis suruh hantar balik. Pagi-pagi, aku main permainan buaiyan panjang di luar rumah dlaam pagar, aku tak jumpa dah permainan itu di tempat lain, selain di rumah ayah alang!

Ayah alang, umpama pakcik dalam terang, dan sahabat dalam gelap. Meski ramai yang tak menyedari keakraban kami, namun hanya kami dan Allah saja yang tahu, bahawa hati kami saling bertaut. Ini hanyalah secebis kisah keakraban aku dengan ayah alang semasa kecil, dan keakraban itu masih kekal terjalin hingga kini, dalam versi "kematangan & kedewasaan" pula... Alhamdulillah, Allah kurniakan aku ayah alang, yang hatinya dan hatiku, adalah sama adalah satu...

PAKCIK DAN MAKCIKKU. Enda dan Cuin


Semoga kami kekal menjadi satu
keluarga besar yang bahagia
 di bawah rahmat Ilahi
Dalam banyak-banyak sedara-mara, aku paling rapat dengan keluarga enda dan cuin (adik lelaki bongsu mak). Kedua-duanya adalah adik mak. Mungkin juga rapat kerana keberadaan mereka di Selangor, tempat aku merantau menuntut ilmu. Bermula dengan kemasukan aku ke KISAS, maka selalulah cuti-cuti yang sekejap aku hanya akan pulang ke rumah mereka. Lagi pula aku sering sakit, maka sering jugalah mereka mengambil aku di sekolah. Kebetulan pula, aku dapat masuk UKM, juga di Selangor. Maka berterusanlah aku ke rumah mereka. Sebenarnya taklah sangat aku suka ke rumah mereka, mereka yang suka ambil aku bawa pergi rumah mereka. Lama-kelamaan, kerana dah biasa, maka aku pun jadi seronok asyik nak ke rumah mereka.

Dulu, semasa mak baru kawin, mak ambil enda tinggal dengan mak. Dulu adik ayah pandai-pandai, jadi mak pun teringin agar adik mak juga pandai. Mak ambil enda dan hantar sekolah Idrisiah, kemudian ke sekolah Terong Batu 8. Semua tu ayah yang tanggung, sebab mak surirumah sepenuh masa tak bekerja. Cuma enda je yang malas belajar masa tu :-). Suka lari dari asrama. Selepas kami 4 orang adik beradik semua dah lahir, ayah berpindah kerja ke KL. Tinggal di Datok Keramat. Enda sekali sekali datang ke sini. Pernah juga tinggal lama kerana bekerja di sini, tapi kemudian enda kawin dan tak lagi bersama kami.

Cuin pulak, bila tak lulus SPM, mak ajak duduk di KL dan ambil sekali lagi SPM, itupun ayah juga yang tanggung. Kemudian mak suruh cuin ambil Sijil Bahasa Inggeris di Pertama Kompleks masa tu. Akhirnya, cuin terus bekerja di KL dan tinggal bersama kami. Masih banyak gambar kenangan cuin di KL yang tersimpan di dalam album. Apabila kami berpindah pula ke Ipoh, cuin minta TUDM, akhirnya dapat TUDM dan kerja bahagian pantadbiran kerana ada sijil Bahasa Inggeris. Kemudian masa training, cuin sakit rosak buah pinggang, sebulan lebih terlantar di hospital, kencing berak mandi semua orang yang uruskan, dan masa tu, maklah yang tinggal lama di hospital jaga cuin. 

Mungkin ,kerana faktor-faktor inilah apabila aku pula datang ke tempat mereka, mereka pula menjaga aku dengan baik, kerana ingin membalas jasa mak dan ayah. Ayah memang tak pernah berkira dengan keluarga mak. Dan mak pula memang ambil berat tentang adik beradiknya. Itu faktor membalas jasa mak dan ayah, tapi kemudian, bila aku dah bersama mereka, aku pula yang berjasa dengan mereka. Anak enda misalnya, aku telah mengajar anak sulungnya sejak mereka darjah 3, hingga kini masing-masing sudah tahun akhir di UKM dan UTHM, aku masih lagi mengajar adik-adiknya yang lain. Begitu juga anak cuin yang mula aku ajar anak sulungnya sejak darjah 2, dan kini telah berada di UITM, dan sekarang aku masih lagi mengajar adik-adiknya pula. Mungkin kerana faktor aku mendidik anak mereka tanpa pernah jemu, mereka masih terus berbaik dan memerlukan aku... Tak tahulah nanti kalau mereka dah tua dan dah takde anak, adakah mereka masih suka kat aku, itu wallahu a'lam. 

Dulu, cubiah (isteri cuin), tiap kali berpisah dengan aku mesti hulur duit, banyak pulak tu... rm50 biasanya.  Tiap kali raya, walaupun dah besar, mesti dapat juga duit raya.  Tiap kali g rumah dia, bila balik mesti dapat duit. Tiap kali nak balik ke ukm ke, dah habis ukm pun bila nak balik rumah ke, mesti dia bagi rm50.  Cuma sekarang, bila aku dah buak kedai, dia dah tak ada lagi bagi duit... :-( Sedih juga. Bukan nak kan sangat dit tu pun, tapi yelah, rasa macam dah kurang kasih sayang dia pada aku. Tapi sebenarnya tak pun, saje je aku rasa ma cam tu :-) Tiap  kali nak kemana-mana, mesti keluarga cuin nak ajak aku bersama dengan percuma :-) Antaranya ke langkawi 2 kali, ke bukit fraser, dn mcm2 lagi. Keluarga enda pula kalau nak buat apa-apa mesti pujuk juga aku untuk datang... Nak buat harijadi anaklah, nak hantar anak masuk asramalah, lepastu kalau anak-anak yang duduk asrama atau universiti ada balik, mesti diorang akan telefon aku dan pujuk rayu aku untuk datang, banyak benda nak cerita lah, nak buat makan-makanlah... macam-macam lah. Yang penting, aku memang sayangkan mereka, seronok bersama mereka, dan aku tahu mereka juga begitu. Semoga hubungan dan kasih sayang ini berterusan....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis