Thursday, 27 October 2011

WARKAH BUATMU. Maafkanlah Aku Yang Sering Melukakan...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Menemui dirimu yang selalu diingatan,

Saat warkah ini ditulis, tak tahu aku nak gambarkan bagaimana keadaan diriku. Berasa terlalu lemah akal dan fikiran, terlalu lemah jiwa dan perasaan. Aku tak tahu bagaimana dirimu di sana. Kalaulah bisa aku menghampirimu... Tetapi engkau terlalu jauh, semakin menjauh, aku tak bisa merapatimu lagi.

Aku begitu menyesal. Namun 1000 sesalan walau diungkap dengan kata-kata, tak mampu memutarkan semula masa yang telah berlalu. Aku menyesal kerana menyakitimu pada hari ini. Tapi tahukah engkau apa ertinya semua ini, apa maksudnya aku lakukan semua ini???

Aku manusia yang lemah, sangat lemah. Kekuatan aku hanya pada hati yang selalu ingin bermujahadah. Kadang-kadang aku berjaya, adakala aku tak berdaya. Malam kelmarin, apabila mengenang saat-saat perpisahan yang semakin hampir, aku mula merasai kesakitan itu. Aku cuba bertahan dan melawan. Siangnya, Rabu itu, aku semakin lemah. Rasanya aku telah kalah dalam mujahadah ini. Aku tak mampu kuat. Namun, aku takmahu kau tahu kelemahan aku. Bukannya aku tak mahu berbicara denganmu pada hari ini, namun aku takut kau dapat mendengar suara sedihku yang takmampu lagi aku bendung. Aku takut kau merasai kesedihan yang takmampu lagi aku sorokkan daripadamu. Bukannya aku mahu sorokkan kelemahan diri, tetapi aku tak sanggup membiarkan kau bersedih mengenangkan keadaan aku. Aku tahu, kau amat menyayangiku, dan kesedihanku adalah kesedihanmu. Kerana itu aku tak sanggup membiarkan kau bersedih...

Tahukah kau, aku sengaja berusaha untuk membuahkan kemarahanmu... Bukankah kau pernah berkata, kau terlalu lemah dengan rayuan, kau akan bersedih melihat kesedihan orang yang kau cintai, tetapi kau akan menjadi singa kalau berhadapan dengan kekasaran dan keangkuhan orang terhadapmu. Aku ingin kau jadi singa, aku ingin kau kuat, aku tak mahu kau lemah dan semakin lemah hanya kerana kelemahan aku. Setiap ayat yang aku kirim petang tadi, bagai menyiat jiwaku sendiri. Setiap cemuhan yang aku tulis, bagai menyakitkan hatiku sendiri. Setiap kata yang aku nukil, bagai meremukkan jantungku sendiri. Aku bukan menulis dengan marah, bukan menulis dengan emosi, apalagi menulis dengan benci.

Percayalah, aku tak sedikitpun membencimu, tak sedikitpun memandang kau dengan pandangan yang hina, tak sedikitpun merasakan kau kerdil, jauh sekali merasakan kau lemah. Kau tetap seperti yang mula-mula aku kenali, kau tetap sama seperti yang pertama kali aku kagumi, kau tetap kau yang pernah aku sayang, dulu, kini dan selamanya. Aku tak mahu kau berubah, dan aku juga taknak merubah pandangan aku terhadapmu. Kau akan tetap kekal dalam kenangan aku sebagai insan yang aku sayang, kasih, dan cinta... selamanya.

Demi kau juga, aku akan berusaha untuk kuatkan hatiku, tunaikan impianmu untuk mendengar suaraku, berbicara lama denganku, semampunya aku akan tabahkan hatiku, demi menggembirakan hatimu, meskipun hanya untuk sehari, hanya untuk esok hari. Moga dengan itu, tiada lagi sebalmu, tiada lagi kesedihan dan sesalan di hatimu. Semoga kita berpisah dengan aman, juga semoga kau akan hidup dengan tenang dan aman.

Aku tak ingin menjadi kenangan, aku ingin menjadi sebahagian dari hidupmu, sebahagian dari jiwamu, tapi aku tak bisa, aku taksanggup biarkan kau rasa bersalah membuang aku dari hidupmu. Biarlah aku yang membawa diri. Buat akhirnya, andai benar aku hanya satu coretan yang menumpang dalam catatan sejarah hidupmu, semoga aku kekal dalam kenangan hidupmu, menjadi kenangan yang terindah... meskipun kata-kata ini, sangat meruntun jiwaku...

Salam sayang penuh rindu dan cinta,
~ KENANGANMU ~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis