Tuesday, 5 July 2011

ANXIETY. PADA HARI ITU

Gambar hiasan...
HARI ITU antara hari-hari jadam dalam hidupku. Seteruk manapun seorang wanita, hatta sejahat manapun dia, perasaan yang sangat mengguris hati apabila dianggap perempuan murahan, dan perempuan yang tiada maruah. Kalau diungkap perkataan itu di hadapan seorang pelacur sekalipun pasti dia akan tersinggung, apakah aku berhati batu hingga langsung tak berasa apa-apa? Aku malaikatkah yang tak punya perasaan? Sedang bidadari di syurga saja punya perasaan, inikan pula aku hanya wanita lemah yang berada di atas bumi penuh pancaroba. Tapi, adakah siapa yang peduli....

....mereka takut ditertawakan oleh orang sekeliling, takut dihina dan diperlekeh, takut diumpat atau dikata belakang, apalagi kalau dicaci atau maki hamun secara "berhadapan". Mereka juga sangat takut melakukan kesalahan atau kesilapan...

Tapi, itulah yang aku tempuhi pada hari itu. Aku bagai berada dalam kandang pesalah, yang hanya mampu berdiri kaku, mendengar lontaran-lontaran tuduhan tanpa berupaya untuk membela diri. Meskipun ada ruang untuk membela, tapi bagai berhadapan dengan peguam agung, yang aku hanya berpeluang mengungkap satu dua kata lalu dipatahkan dengan hujah dan gertakan-gertakan. Aku benar-benar bagai berada dalam kandang itu, dengan semua mata memerhati ke arahku, melihat ketakutanku berada di situ, tanpa ada siapa yang mahu membantu.

Segala ketakutan yang mengerikan bagi pesakit anxiety terpaksa aku telan pada hari itu, pada saat itu. Takut dihina dan diperlekah, terpaksa aku terima. Malah ketakutan terbesar dicaci dimakihamun berhadapan, terpaksa aku telan. Takut diumpat atau dikata belakang, itu juga terpaksa aku depani, apabila digertak akan dihebohkan dicanang pada serata alam... Apalagi ketakutan yang tidak aku terima pada hari itu, semuanya cukup lengkap untuk melumpuhkan aku pada waktu itu juga. Namun, mungkin berkat ketabahan aku untuk berusaha melawan sekian lama, aku mampu menghadapi semua itu pada saat berlakunya. Aku tenang, aku tidak menggeletar, aku tidak panik, semuanya bagaikan aku telah sempurna sembuh.

Tetapi, setelah berlalunya saat menggetirkan itu, aku benar-benar kalah. Aku berharap agar kelemahan dan penyakit itu datang kembali. Biar nanti, orang akan temui aku terbaring lesu di kaki lima atau lorong-lorong gelap, biar nanti orang akan temui aku menggeletar ketakutan di mana-mana stor atau tandas masjid, biar nanti orang akan menghantar aku ke hospital, biar aku terus duduk di wad, tak perlu lagi berhadapan dengan manusia atau siapa sahaja. Aku berharap serangan penyakit itu datang lagi....aku berharap... tetapi.... Akhirnya aku akur, Allah telah memberikan kekuatan padaku, kekuatan yang selama ini selalu aku mohon dariNya. Akhirnya aku menangis kekesalan, aku hamba yang tak bersyukur. Semoga Allah ampunkan aku, dan mulai saat ini, aku akan terus bersyukur dengan kekuatan dan ketabahan yang Allah sempurnakan hari demi hari.

Tetapi, itu kekuatan yang Allah berikan. Dengan kelemahan aku sebelum ini, aku tetap mengharap ada sokongan dari insan yang aku kasihi. Saat aku dibiarkan keseorangan menghadapi kecaman, aku rasa benar-benar dipinggirkan. Aku tidak berharap untuk dibela kerana ia akan lebih merosakkan hati insan yang seorang lagi, tapi aku cuma berharap dia mampu menahan semua itu dari terjadi, dia boleh menghentikannya, tapi harapan aku di saat itu tidak terkabul. Sedih dan malu bercampur-baur. Aku malu, berasa seperti berdiri di kandang salah, dan dia hanya melihat aku di situ. Apa yang kalian rasa kalau kalian dimarah depan orang yang kalian cintai dan kasihi, apa yang kalian rasa kalau kalian diperli-perli atau diperlekeh depan orang yang kalian kagumi dan hormati, apa yang kalian rasa kalau kalian dimalukan di depan kekasih hati kalian???? Malu, malukan... Tapi apa yang lebih kalian rasa, di saat itu dia hanya melihat tanpa mengehntikannya... Sebak. Hanya itu takrif paling tepat.

Tetapi aku tak pernah mampu menyalahkan  dia, kerana situasi dia lebih teruk daripada aku. Aku mendepani ujian sekali-sekala sedang dia barangkali selalu, dan di saat dia menghadapi saat seperti itu pastinya aku juga tak pernah ada untuk membantunya. Maka, pastinya aku juga tidak boleh menyalahkannya. Namun, aku masih berharap, dia datang memberi kekuatan pada aku. Kalau nak dibandingkan perintiwa ini dengan yang sebelumnya, tentulah ini lebih lagi. Dulu aku hanya berdepan dengan mesej, tapi kali berbicara terus, dulu aku tidak direndahkan, aku anggap itu hanya rayuan untuk jangan mengganggu mereka lagi, tapi kali ini adalah kecaman, direndah-rendahkan, beserta ugutan. Apakah aku malaikat untuk tidak berasa apa? Aku sangat terpukul, hanyasanya aku tidak terfikir untuk meninggalkannya kerana tiada rayuan, tetapi adakah itu bermakna peristiwa ini tidak memberi kesan kepada aku?

Aku terus menunggu detik waktu untuk dia hadir menguat dan menenangkan aku. Aku menunggu malam itu kalau mungkin dia keluar ke surau lalu cuba menghubungi aku. Aku tunggu pagi Sabtu itu kalau-kalau dia ke surau solat subuh lalu cuba menghubungi aku, aku tunggu petang itu, malam itu, pagi esoknya hari Ahad, petangnya, malamnya.... Tapi penantian aku sia-sia... Aku menunggu dalam tangisan, dan penantian itu menambahkan lagi tangisan sedia ada.... Kali ini aku tahu, aku tak perlu mengharap apa-apa lagi daripadanya, kalau aku inginkannya, aku yang harus berusaha mendapatkannya, kalau aku yang ingin bersamanya, aku yang perlu tabah mendapatkannya... Setelah Allah berikan kekuatan, aku perlu terus tabah mengharungi sisa saki baki "penyakit ini" sendirian, demi untuk kesembuhan yang sempurna dan berkekalan, kerana ku ingin hidup bahagia, bukan lagi dalam ketakutan dan derita...

Monday, 4 July 2011

ANXIETY. SAAT AKU BERUSAHA MELAWAN

A friend in need is a friend indeed..
Nilai sahabat sejati tidak mampu
di nilai dengan mata kasar...
SATU MASA DAHULU, aku sangat menderita menghadapi saat-saat ketakutan itu menjelma dalam kehidupanku. Penderitaan itu sangat mengerikan. Tiada siapa yang tahu, tiada siapa yang faham. Aku cuba untuk memahamkan, tetapi tiada siapa yang ingin memahami. Aku sering dipersalahkan atas ketidakupayaan aku sendiri. Akibatnya, aku menderita menghadapinya seorang diri. Aku tidak mahu salahkan sesiapa, perkara baru tanpa pendedahan, memang sukar untu manusia terima. Aku bersyukur kerana aku masih ada  sahabat baik yang sangat memahami walau apapun keadaanku. Terasa benar betapa besar hikmah Sayyidina Abu Bakar menjadi sahabat karib Rasulullah saw yang sentiasa membenarkan baginda meski datang saat ramai yang tidak mempercayai baginda seperti dalam perintiwa Israk Mi'raj. Sahabat seperti itulah yang memberi kita kekuatan dalam menghadapi dugaan hidup yang jauh dari keluarga. Selain dia, aku hanya ada Dr. Tuti yang merawatku! Hanya mereka yang mempercayai aku.

Aku menjalani rawatan bulanan dengan Dr. Tuti. Pada peringkat awal, aku diberi rawatan dalam bentuk ubatan bagi meneutralkan kimia yang tidak seimbang dalam otak. Aku diberi dos yang agak tinggi, juga sejenis ubat "emergency", segera telan kalau mula timbul rasa cemas / takut. Selain kaedah perubatan, kami juga dirujuk kepada unit kaunseling untuk diajar cara bernafas ketika diserang anxiety, juga cara duduk, cara berfikir, dan banyak lagi. Namun Dr. Tuti nasihatkan untuk peringkat pertama ini, seboleh-bolehnya elakkan daripada sebarang masalah atau apa saja perkara yang boleh mendatangkan masalah, elakkan daripada bertemu siapa saja yang aku tidak suka atau benci, dan elakkan, elakkan, elakkan, sehingga apabila aku telah ambil ubat beberapa lama dan Dr telah ajar banyak perkara serta yakin dengan aku, barulah aku akan berpindah ke peringkat seterusnya iaitu cuba mendepani cabaran, dengan bimbingan Dr, dan pastinya juga dengan sokongan sahabat karibku.

Namun, sebaik sahaja Dr mengatakan bahawa aku perlu makan ubat itu seumur hidup, tidak boleh berhenti tanpa arahan doktor sekurang-kurangnya untuk 3 tahun, dan setelah aku dapati (daripada pencarian maklumatku) bahawa ubat itu bisa ketagih dan dosnya semakin meningkat usia makin tinggi, aku bertekad untuk berhenti! Aku taknak merosakkan diriku. Dr Tuti selalu ingatkan aku untuk banyakkan pergantungan pada Allah untuk mencapai kesembuhan ini, dan beliau juga pernah syorkan aku membaca buku Jangan Bersedih karangan Dr Aidh Abdullah al-Qarni. Justeru, aku membuat andaian aku mampu untuk sembuh tanpa meneruskan rawatan, aku bertekad dan yakin. Lalu aku meninggalkan Dr Tuti tanpa pamit.

Tetapi tetaplah manusia it lemah tak mampu lakukan apapun tanpa izin Allah. Aku mengharungi hari-hari dalam hidup yang sangat berantakan. Ada waktu yang mampu aku harungi, ada waktu yang  aku rasakan tak mampu lagi untuk diteruskan. Aku bukan ingin membuka aibku sendiri, tetapi aku cuba untuk mengajak orang lain memahami bagaimana serangan ketakutan itu, hingga setiap kali naik kenderaan aku berdoa agar kenderaan itu ditimpa kemalangan. Aku tak memohon untuk mati, tapi aku mohon agar aku terlibat dalam kemalangan dan hilang ingatan, agar aku tak terbeban dengan taklifan dunia ini lagi. Aku tahu itu salah dan aku sentiasa bertaubat bila kembali dalam keadaan sedar sepenuhnya. Tetapi aku juga tak mampu nak luahkan atau mengadu pada sesiapa, kerana tiada siapa yang cuba untuk faham bila aku mula buka mulut.

Akhirnya, aku berjaya untuk hidup sampai ke hari ini, tetapi dengan setelah pelbagai kegagalan, kesedihan, kehancuran yang aku lalui... keperitan menanggung "anxiety" itu. Bayangkan saat anda takut atau ingin lari dari sesuatu masalah, itulah yang saya rasai tetapi dengan ketakutan 1000 kali ganda anda... Cuba anda paksakan anak anda yang takut gelap, atau adik-beradik anda yang pemalu dan takut nak bertanya orang, atau anda paksa diri anda buat sesuatu yang anda tak suka takmahu atau tak mampu, begitulah keterpaksaan yang harus saya alami demi meneruskan hidup. Kerana itu di satu sudut aku menjadi pemberani dengan bermusafir kemana sahaja seorang diri, aku boleh bergerak tanpa duit walau sesen, aku boleh tidur di mana saja, rumah siapa saja yang tak dikenali ataupun di tempat awam yang terdedah, mudah mengecam jalan, dan pelbagai lagi upaya untuk menerus hidup.

Akhirnya, inilah aku sekarang. Rupanya aku telah berjaya melalui peringkat yang Dr Tuti kata perlu ambil masa, iaitu "mendepani ketakutan" untuk kuat menghadapi ketakutan. Bohonglah kalau aku katakan aku telah sembuh sepenuhnya dengan begitu mudah. Penderitaan itu masih ada, namun aku semakin kuat menghadapinya. Alhamdulillah Allah beri kekuatan dan jalan untuk aku tenang dan tabah, meskipun ada masa-masa aku tetap kalah dan terpaksa melalui sakitnya "takut" itu. Ya setelah berpenat-lelah berhempas-pulas menderita, kini aku hidup semakin bahagia dan tabah, semakin kuat dan berani, semakin tenang dan matang. Aku bersyukur meninggalkan kelemahan itu hanya sebagai sejarah hidup, yang kalau boleh tak mahu kenang lagi walau sesaat. Ya, aku belum sembuh, tapi aku dah berhasil mengawalnya dengan izin Tuhan...

Social Anxiety Disorder. Penerangan.

Anxiety Disorder harus ditangani dengan segera...
SEBENARNYA, penyakit ini dideritai ramai manusia, tetapi ramai yang tidak mengambil berat, malah kadang-kadang menganggap ianya adalah tabiat semulajadi, sedangkan ia adalah satu penyait yang harus dan boleh diubati! Membiarkan penyakit ini berlarutan boleh mengakibatkan masalah kepada saraf sama ada saraf otak, mahupun saraf di bahagian tubuh badan yang lain. Antara tanda-tanda pengidap penyakit ini ialah, mereka berasa takut untuk bertemu atau berbicara dengan orang tertantu, atau pada waktu tertentu. Masalahnya, di Malaysia, penyakit yang berkaitan mental ini jarang diketengahkan, menyebabkan pesakit akan terus menderita dengan penyakit yang kononnya dianggap “masalah sikap” oleh majoriti masyakarakat yang tidak tahu.

Masyarakat perlu tahu dan sedar tantang penyakit ini kerana penderita Anxiety sendiri cenderung untuk menyembunyikan apa yang sedang mereka alami. Oleh sebab itulah, keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling perlu peka terhadap masalah yang menimpa ahli keluarga atau rakan-rakan mereka. Ketakutan yang sering mengganggu ialah, mereka takut ditertawakan oleh orang sekeliling, takut dihina dan diperlekeh, takut diumpat atau dikata belakang, apalagi kalau dicaci atau maki hamun secara berhadapan. Mereka juga sangat takut melakukan kesalahan atau kesilapan. Mereka takut membayangkan hukuman-hukuman yang akan diterima atas kesalahan mereka yang kadangkala terlalu kecil, dan mereka paling takut dibenci atau dipandang serong oleh orang lain. Derita ini akan mereka lalui setiap hari, cuma besar atau tidaknya ketakutan itu yang berbeza.
 

Bagi mereka yang mengidap panik, gejala panik mungkin boleh datang dan pergi, namun bagi pengidap Anxiety, gejala ini mungkin boleh berlarutan hinggalah ketakutan itu hilang dengan sendirinya, barangkali sehari, seminggu, mahupun sebulan. Keadaan ini akan memburukkan lagi situasi pesakit kerana ia akan mengganggu kerja atau tugasan seharian pesakit. Apabila kerja harian terganggu atau terabai, ini akan menambah lagi bebanan ketakutan dalam diri pesakit. Itulah yang dikatakan ketakutan melampau / luar kawal. Pesakit menyedari bahawa perasaan takut mereka itu tidak sepadan dengan masalah sebenar, bahkan apa yang mereka khuatirkan itu mungkin tidak seteruk yang mereka sangkakan. Namun, tiada apa yang dapat mereka lakukan!  Reaksi mereka adalah automatik, tindakan mereka bukan disengajakan! Denyutan jantung mereka akan meningkat, pernafasan akan menjadi lebih pendek, dan mereka mungkin akan mengalami sakit dada dan sesak nafas yang teruk. Bahkan yang lebih parah, mereka akan menggeletar dan kalau itu sudah terjadi, mereka akan berusaha untuk melarikan diri dari tempat bermula diserang gejala itu , lari tanpa arah tujuan yang pasti. Mereka juga akan menghindari semampu boleh untuk berinteraksi dengan orang yang mereka kenali.

Kesan daripada Social Anxiety ini sangat besar. Meskipun kesannya berbeza, penghujungnya adalah sama, iaitu kerosakan! Ada pesakit yang takut menghadapi kegagalan atau cemuhan, akibatnya dia menjadi seorang “perfectionist”. Dia inginkan kesempurnaan dalam segala hal. Kerana itu, kalau dia pelajar, kita akan melihat notanya begitu sempurna. Kalau dia seorang pekerja, pekerjaannya sangat teliti. Kalau dia calon peperiksaan, dia akan pastikan dia mendapat markah yang tinggi. Memang selalunya mereka akan berjaya, boleh jadi pemidato hebat, boleh jadi pensyarah terkemuka, pelajar cemerlang, tetapi... Apabila mereka rasa diri belum siap untuk memasuki dewan peperiksaan, anxiety disorder tadi mula datang, hingga mereka merasakan lebih baik tidak mengambil peperiksaan kalau hanya dapat markah rendah. Seorang pekerja juga mungkin merasakan lebih baik tidak masuk mesyuarat daripada terpaksa membentang kertas kerja yang tidak sempurna. Akibatnya, apabila mereka membuat kesalahan yang pertama seperti tidak mengambil peperiksaan atau menyertai mesyuarat, ketakutan seterusnya pula akan datang disebabkan kesalahan mereka itu, dan ketakutan itu akan merebak dan bertimpa-timpa. Seringkali, mereka bermula cemerlang, dan erakhir dengan kecundang!

Begitu juga, ada pesakit yang takut pada cemuhan atau kegagalan, berbeza dengan “perfectionist”, mereka tidak akan berusaha melakukan yang terbaik, sebaliknya terus sahaja mengalah.  Mengalah, rasa rendah diri, hina diri, tidak mahu mencuba, tidak mahu berubah dan seumpamanya. Mereka bermula kecundang, dan berakhir dengan kecundang! Kesimpulannya, kesan kepada penyakit ini sekiranya dibiarkan tanpa diubati atau ditangani  adalah kehancuran hidup... Kerana itu, mereka sangat memerlukan sokongan orang sekeliling, terutamanya daripada insan-insan yang mengharungi hidup bersama mereka sepanjang hayat.
* Untuk maklumat ilmiah yang lebih tepat, sila klik --> di sini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis