Wednesday, 22 June 2011

Social Anxiety Disorder. Prakata.

Ubat hanya sebahagian rawatan, sokongan
orang sekeliling adalah lebih utama...
SOCIAL ANXIETY DISORDER, satu penyakit yang dihidapi oleh agak ramai manusia, tetapi tidak diketahui oleh ramai orang. Ia salah satu daripada ratusan jenis penyakit mental. Penyakit mental??? Ya, aku tahu, apabila disebut mental, skeptikal masyarakat Melayu adalah gila / sakit jiwa, satu penyakit yang sangat digeruni. Bahkan, di kalangan agamawan pula menganggap penyakit-penyakit seperti ini disebabkan kurang keimanan atau keyakinan kepada Tuhan, kerana itu jiwa / mental mereka  menjadi kacau. Ketahuilah,  penyakit ini berkaitan dengan kimia otak, dan tidak ada manusia yang inginkan sesuatu kelamahan atau penyakit dalam diri mereka.  Bahkan mereka menyedari saat penyakit itu muncul, hanyasanya mereka tidak mampu melawan atau menyembuhkan diri mereka sendiri.

Moga-moga, artikelku tentang penyakit ini kelak tidak mengundang sebarang impak negatif terhadap mana-mana hubungan insan, sama ada suami dengan isteri, tunang dengan tunangannya, mahupun kekasih dengan buah hatinya. Mereka yang menderita penyakit ini bukan ancaman bagi anda semua, malah mereka tidak membahayakan anda. Mereka benar-benar cukup menderita menanggung penyakit ini. Hanyasanya derita mereka itu berada di dalam, dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sebaliknya, kalau anda benar-benar menyayangi mereka, andalah yang harus membantu mereka untuk sembuh, atau, barangkali dengan kasih sayang anda, anda menjadi sebab kepada kesembuhan mereka! Itu hanyalah harapan saya kepada pasangan lain yang membaca artikel tentang penyakit ini, tetapi kepada pasangan saya sendiri, saya tidak tahu apa yang harus saya katakan.

Ya, Social Anxiety Disorder adalah masa lalu saya yang sangat memeritkan....

Sunday, 12 June 2011

RINDU ATIQAH DAN ABDULLAH BIN ABU BAKAR. TAULADAN RINDUKU (bah. akhir)

(bahagian akhir)

Rindu Atiqah.

Atiqah, wanita yang digelar sebagai isteri yang 'memberi' syahid kepada suaminya. Setiap kali Atiqah berkahwin, suaminya akan mati syahid di medan perang. Disebabkan kelebihan pada Atiqah ini, ramai pemuda yang rindukan syahid silih berganti berebut untuk menjadikan Atiqah sebagai isteri. Kecantikan Atiqah, kebijaksaannya dan sifat lemah lembutnya adalah satu bonus tambahan pada diri Atiqah.

Friday, 10 June 2011

RINDU ATIQAH DAN ABDULLAH BIN ABU BAKAR. TAULADAN RINDUKU (bah 2)

Cinta perlukan mujahadah...
Meneruskan cinta, meninggalkan cinta,
kedua-duanya akan diuji...
(bersambung)

Hari ini, telah berlalu beberapa hari. Mujahadahku masih tinggi. Aku akui, aku manusia lemah, kerana itu perlu mujahadah yang tinggi. Kalaulah hatiku telah kuat dan redha peringkat tertinggi, pasti aku tidak perlu lagi untuk bermujahadah. Kalau diikutkan hati memang mati. Tapi aku masih ingat pesannya, kalau saat jiwa lemah, ikutlah pertimbangan akal fikiran yang waras, jangan ikut asakan emosi yang melulu. Aku akan sentiasa ingat setiap pesanannya dalam menjalani hidup ini. Dia telah banyak mendidik aku, dan aku tidak akan abaikan walau satupun pengajaran yang aku dapati sepanjang "di bawah didikannya".

Aku akui, setiap hari tiada lagi saat aku menantikan panggilan daripadanya, setiap hari tiada lagi rasa rindu untuk mendengar suaranya, aku bersyukur kerana aku mampu menghadapi hari-hari baruku tanpa gangguan emosi yang menyukarkan. Namun, tetap saja manusia itu lemah. Apabila berlalu hari Jumaat yang penuh ketenangan, saat tiba waktu malam untuk menutup hari yang penuh indah, perasaan sebak yang tidak tahu dari mana datangnya, sangat mengcengam jiwa. Mungkin kerana Jumaat terlalu istimewa bagi diriku. Siangnya adalah hari aku menyuburkan rindu buat insan paling istimewa, Rasulullah saw, dan aku selalu berusaha menanam rindu yang sama dalam hatinya. Tapi kini, tiada lagi perkongsian rindu antara kami. Mungkin kerana itu, ada rasa sayu yang sangat dalam merebak dari dalam lubuk hatiku.

Saat semua telah melelapkan mata, aku berjalan perlahan munuju ke bilik belakang. Aku memasuki bilik yang gelap itu tanpa membuka lampu. Dalam kegelapan bilik yang samar-samar dengan cahaya lampu dari dapur, aku mencari beg laptop yang aku bawa pulang dari Kuala Lumpur. Aku membuka zip beg, lalu menarik perlahan-lahan sehelai baju yang sempat aku sumbat semasa kelam-kabut mengemas beg untuk pulang ke kampung beberapa hari lalu. Aku memeluk erat baju tersebut, dan terus berbaring di lantai tanpa melepaskan erat pelukanku. Aku mencuim baju tersebut, berkali-kali, sepuas hati, ada sesuatu yang hilang, ada sesuatu yang hilang.... Tiada lagi baunya, tiada lagi bau yang kurindu sebelum ini... Tuhan, adakah bau itu pergi bersama dirinya............

Nafasku semakin kuat, sayuku semakin dalam, sebakku semakin membuak, akhirnya...tangisku pecah! Aku menangis sepuas-puasnya, aku melepaskan rinduku semahu-mahunya, aku tidak mahu lagi menahan sedu-sedan itu, itulah rindu yang aku tahan selama seminggu, itulah rindu yang aku nafikan saban waktu, itulah rindu yang aku sembunyikan di sebalik keriangan dan kesibukanku. Aku wanita biasa, biarlah aku akui aku bukan wanita istimewa, aku hanya wanita biasa. Kuatku hanya kerana mujahadah, sedang hatiku hanya hati manusia yang lemah. Aku menyesal menjadi wanita kuat, aku menyesal menjadi wanita tabah, kerana tabahnya aku membuatkan dirinya juga tabah, kuatnya aku membuatkan dirinya juga kuat untuk pergi meninggalkan aku. Kalaulah aku wanita lemah, pasti dia juga berasa lemah dan memujukku untuk tidak meninggalkannya.... Malam itu, aku terlena di atas lantai tanpa alas dan bantal, hanya diselimuti "baju" pemberiannya, baju yang membaluti rinduku, baju yang menyelimuti sayuku....

(bersambung)

Thursday, 9 June 2011

RINDU ATIQAH DAN ABDULLAH BIN ABU BAKAR. TAULADAN RINDUKU (bah. 1).

Bersendirian tak bermakna keseorangan...
RUPANYA bukanlah sukar sangat untuk melupakan, begitulah yang ku fikirkan pada hari-hari terawal perpisahan ini. Patutlah dia pernah menyatakan, bahawa dia "sudah biasa" mengharungi perpisahan, dan perpisahan bukanlah perkara besar dalam hidupnya. Kalau terpaksa berpisah, mungkin sedihnya hanya sebentar, tetapi dia boleh menerima dan akan redha. Waktu itu, aku ingin protes cakapnya, terasa mudahnya dia menerima perpisahan, apakah kerana impiannya untuk bersamaku tidak sepenuh hati hingga dia begitu senang menerima kemungkinan untuk berpisah? Sedangkan harapanku padanya terlalu mendalam, bahkan menggunung. Atau juga, barangkali kerana dia pernah melalui saat-saat perpisahan beberapa kali dalam hidupnya, hingga dia telah berasa lali, sedangkan aku hanya ada sekali perpisahan yang benar-benar menyakitkan, dan aku tidak pasti adakah aku mampu menanggung sakit yang sama untuk kedua kalinya.

Tetapi hari pertama (Isnin) itu membuatkan aku berfikir, rupa-rupanya azam dan tekad yang kuat mampu membantu kita mencapai niat. Ya, setelah aku berazam dan bertekad untuk melepaskannya pergi, tiada setitispun air mata mengalir dari kelopak mataku. Juga tiada rasa sayu atau sedih. Bahkan aku berasa bangga, kerana aku bisa jadi seorang wanita yang tabah dan kuat, seorang insan hebat dan luar biasa. Aku berharap dia juga berbangga dengan kekuatanku ini, kerana saat dia melihat kelemahanku, dia selalu mengulang-ulang bahawa dia sedar rupanya aku juga wanita biasa, sama seperti wanita lain... Ya, tapi hari ini aku buktikan aku insan hebat, insan isimewa, aku harap dia berbangga denganku, kerana aku juga berbangga dengan diriku sendiri. Tiada sedih, bahkan tiada terkenang walau sedikitpun. Aku tidak menunggu sebarang panggilannya pada hari itu. Bahkan panggilannya di awal pagi itu terus saja aku abaikan tanpa ada apa-apa perasaan sedikitpun. Tetapi bagi manusia yang tercipta lemah, apakah kekuatan diri yang sebenar baginya? Kekuatan itu adalah mujahadahnya, bukan fitrahnya, kerana manusia itu fitrahnya lemah.

Begitulah, saat aku menguatkan zahirku, fitrah insaniku yang lemah masih ada di situ, dalam diri itu. Pada hari itu, aku pergi untuk menguruskan tempahan di Ampang. Aku hanya meletakkan kereta di stesyen komuter, lalu menaiki komuter dan lrt ke Ampang. Entah kenapa, diri berasa lesu meski hati dan fikiran sangat fokus terhadap kerja. Sesampai di Ampang, saat aku menunggu pakcikku untuk mengambil aku di stesyen Ampang, baru aku tersedar, aku hanya berlenggang!!! Beg dokumenku tertinggal dalam gerabak. Aku segera berpatah-balik, tetapi train telah pergi. Staf lrt yang ada di situ segera menelefon staf peronda dalam train tersebut untuk mencari beg merahku yang punuh dengan dokumen penting, nombor-nombor akaun yang pelbagai, wang tunai, LO, PO, DO, semua yang masih dan sangat penting! Kata mereka, jarang beg yang tertinggal ditemui kembali. Maha suci Allah, mereka dapat mengesannya, dan aku perlu mengambilnya di stesyen yang keempat dari stesyen Ampang. Alhamdulillah, kerja masih dapat aku teruskan.

Setelah perbincangan , confirmation, dan tandatangan semua dokumen, tiba masanya aku ke bank untuk keluarkan duit di atm, berkali-kali aku masukkan kad, dan setiap kali itu juga kadku ditolak. Aku cuba dengan mesin lain pula, masih sama. Akhirnya pengawal bank syorkan aku isi borang buat kad baru. Ya Allah, jam sudah pukul 4 lebih, sedangkan selepas ini aku perlu berkejar ke Chan Sow Lin pula untuk urusan di sana, dalam keadaan jalan yang sesak. Aku hampir putus asa dan malas untuk isi borang, serta ingin kutunda saja semua kerja hari ini ke hari esok. Tiba-tiba pakcikku mengambil kad dari tanganku lalu mengajak aku menuju ke mesin, Allahu Akbar, boleh pula meneruskan urusan dengan kad itu. Walhal tadi..... Saat itu buat aku terfikir, apa sebenarnya yang terjadi pada diriku? Aku berfikir sejenak, tetapi masih tidak pasti puncanya, namun aku terlintas, barangkali hati dan jiwaku masih belum kuat untuk menerima perpisahan ini, barangkali hati dan jiwaku masih merindukannya. Akal yang waras boleh menafikan dengan kekuatan mujahadah, tetapi hati yang dibaluti fitrah, tak mampu untuk menipu diri sendiri.

Justeru, untuk memberi sedikit kekuatan buat hati dan jiwa ini, lalu aku menelefonnya, hanya untuk sebentar, sekadar bertanya kabar. Aku menahan getaran suara yang keluar, terasa bagai berbicara dengan orang asing. Ada rasa bahagia, tapi segera kucantas rasa-rasa itu. Dari suaranya juga aku dapat menangkap perasaannya yang "keras",bagai tidak ada rindu dan kasihnya padaku. Barangkali kerana kerasnya hatiku memilih keputusan ini, membuatkan hatinya juga menjadi keras kerana rasa jengkelnya terhadap keputusanku. Dia cuma bertanyakan aku di mana, dan bertanyakan tentang sesuatu yang sangat berharga yang menjadi milik kami bersama. Dia tidak bertanyapun tentang kabarku.... dan, setelah percakapan yang tidak sampai seminit itu, aku bertanya di dalam diri, apakah benar dia kini telah melipat segala saat indah kami menjadi kenangan? Terasa bagai jawapannya "Ya!", maka akupun menanam satu lagi tekad, untuk belajar menerima sesuatu yang sangat pahit, bahawa mula saat itu, kami cuma sekadar sahabat, ya, menjadi sahabat baiknya seperti yang diminta. Aku mampu menjadi sahabatnya, aku mampu, aku mampu....
(bersambung) 

Wednesday, 8 June 2011

SAAT BERPISAH

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!

Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan: “Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

DARUL ATIQ. USTAZ GHAZALI HASBULLAH

SABDA RASULULLAH S.A.W Hadis riwayat Abdullah bin Masud ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: "Tidak ada hasad (iri) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang, yaitu terhadap orang yang Allah berikan harta, ia menghabiskannya dalam kebaikan dan terhadap orang yang Allah berikan ilmu, ia memutuskan dengan ilmu itu dan mengajarkannya kepada orang lain". (Shahih Muslim No.1352)

Bagi mereka yang  sempat menghadiri kuliah beliau, cara beliau bercakap dan bacaannya agak telor tapi lenggok bahasa dan bacaan serta raut mukanya mampu memikat hati orang melihat. Telornya mampu membuatkan hadirin menangis. Itulah berkat seorang Ustaz ahli ibadah ini.

Memasuki hari pertama bulan Rejab,di hari Jumaat yang mulia Ustaz Ghazali Hasbullah telah pun kembali menghadap Allah. Ustaz Ghazali Hasbullah meninggal di Hospital Selayang, Selangor lebih kurang jam 11.00 malam. Ustaz Ghazali Hasbullah atau lebih dikenali dengan panggilan abuyaa...mungkin tidak ramai yang mengenalinya, kecuali mereka yang mengenali perjuangan beliau melalui satu wadah yang diasaskan oleh beliau, iaitu Darul Atiq.

Semasa hayatnya, beliau dikenali dengan ketegasannya dalam menyampaikan kuliah secara telus tanpa rasa takut. Malah hilang rasa gerunnya kepada sesiapa sahaja selain Allah menyebabkan beliau pernah ditahan ISA. Tetapi yang lebih memberi kesan, kebanyakan kuliah beliau dipenuhi amalan berbentuk zikir. Beliau telah mengasaskan Darul Atiq di Kg. Melayu Rasa, Kuala Kubu Bharu semenjak 1982 yang mana sehingga kini beliau tidak pernah memohon secara rasmi bantuan daripada mana-mana pihak tetapi bantuan dan pertolongan Allah SWT sering menyebelahinya. Darul Atiq memerlukan RM1,000.00 sehari untuk keperluan seharian mereka.

Darul Atiq menempatkan golongan 'terbuang' seperti anak yatim, anak nakal yang tidak mampu dibela ibu bapa mereka atau atas sebab-sebab lain, anak tidak berkeluarga, remaja terlanjur, penagih dadah, janda-janda dan mereka yang ada pelbagai masalah lagi. Di sini Darul Atiq membimbing mereka dan membina peribadi mereka selaras dengan ajaran Islam.

Antara pesanan beliau yang sering diulang-ulang,  

"Tahajjudlah, kerana itu amalan Rasullulah. saw Dengan tahajjud wajah kita berseri, senang dunia dan dipermudahkan akhirat. Apa guna rumah besar, kalau kubur kecik?"

"Apa salahnya kita bagi derma lebih sikit. Asik-asik seringgit sahaja. Bagi lah sepuluh lima puluh ka. Hari-hari kita makan cukup, makan sedap. Korbanlah makan sehari dalam setahun untuk kita fikir dibelakang sana ada yang perlukan duit itu"

Kini Ustaz Ghazali telah meninggalkan perjuangannya kepada penyambung amanahnya untuk menjaga pusat ini di Batang Kali dengan melibatkan penghuni sakit mental, masalah akhlak, anak yatim, anak tidak beribu bapa dan orang tua. Manakala di satu kawasan lain ditubuhkan satu lagi Pusat Tahfiz dan pembelajaran khas untuk menyambung belajar di Timur Tengah. Malah lebih membanggakan apabila ia turut dibuka di Indonesia atas usaha beliau dan anak murid beliau yang dididik lama dengannya.

Walaupun perkenalan hanya seketika,  bayangan Arwah akan terus hidup bagi yang sempat mengenali beliau., apatah lagi bagi penghuni dan bekas penghunu Darul Atiq yang mendapat perlindungan dan bimbingan dari beliau tatkala orang lain membuang dan menghina mereka. Semoga Allah SWT membalas jasa baik beliau. Al-Fatihah dan Ya Siin buat tok guru kami...

<

Dikesempatan ini juga, saya secara peribadi MERAYU derma untuk Pusat Tarbiah Islamiyah Darul Atiq. Untuk berderma atau bersedekah kepada Darul Atiq, boleh berbuat sedemikian kepada:

Pusat Tarbiah Islamiyah Darul Atiq
Kg Melayu Rasa, Batu 341/2
44200 Hulu Selangor,Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-60574869,H/P: 019-3298799
Ustaz Sofar / Supar - 013-2736704

Tuesday, 7 June 2011

KUGAPAI SEMANGATMU, RABIATUL ADAWIYAH

Di sebalik hijab ini
ada nafas yang mendesah, payahnya mencantas "ingin"
cepu yang sarat resah kuusung dengan rindu zikir
sehelai demi sehelai daun takdirku carik
namun setunas demi setunas ia tumbuh

menjadi hijau menyeluruh sarat memutik rindu

Kalaulah engkau singgah di tabir mimpiakulah wanita yang melamar semangatmu, duhai Rabiatul Adawiyah
supaya lebat airmatamu singgah ke kalbu "inginku"
menyatu - hidup dan restu pada batas satu kenyataan
yang menggariskan satu sempadan - dulu dan kini!

Kalaulah aku diberi kesempatan untuk menghidu harum tubuhmu
apakah aku wanita yang akan lemas ke dalam dakapmu, duhai Adawiyah
mengadu tentang musim yang sering memeras waktu
atau tentang "ingin" yang sering dipaksa senyap selalu

kerana aku pun tahu
nafas deritamu tak mudah kutafsir
namun, dari kerdip matamu
ada cahaya yang tak henti berzikir....


oleh: Rosmiaty Shaari

LIRIK : RABIATUL ADAWIYAH (INTEAM)




Engkau bermula dengan sengsara, Dalam mencari bahagia
Terasa bagai bayang-bayang, Gelap walau disuluh cahaya
Pepasir pantai pun berubah , Pabila hakikat melanda
Ketenangan yang kau cari, Terpancar di lorong sufi

Kau hiasi rumah kasih abadi, Serik menghiasi singgahsana-Mu
Kau berjaya merubah segala, Kasih semalam menjadi esok
Kelunakan tangisan kasihmu, Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan, Dari-Mu, Tuhan pencipta alam

Rabiatul Adawiyah , Serikandi yang tercipta
Sungguh agung pengabdianmu, Kau berjaya menjadi iktibar
Asmaramu dihampar suci, Pintalan dari awanan putih
Membuahkan titisan rahmat, Menyuburkan mawar yang layu

Namamu menjadi sanjungan, Ikutan ummah sepanjang zaman
Ayuh bersama kita susuri, Perjalanan kekasih Allah

ALBUM : IMPIAN KASIH

MEMAHAT PONDOK USANG. MENYENDIRI LAGI

BEBERAPA hari yang dulu, ada seorang wanita lemah, tapi masih kuat azamnya, memahat kayu-kayan buat membina pondok usangnya. Membina pondok usang di sempadan sebuah mahligai indah, dapatkah kalian merasakan perasaannya. Dia berseorangan membongkok mengangkat kayu, menjengket memasang atap, mengetuk dan memahat, semuanya dilakukannya sendiri, tanpa teman, berseorangan.
Sambil memahat dengan penuh azam, dia memerhati mahligai indah di sempadan tanahnya, indah...memang indah. Tiang seri yang tinggi, bumbung yang gagah, binaan yang kukuh, hiasan begemerlapan, siapa yang memandang pasti terpesona. Dia membayangkan kehidupan di dalamnya, senyum tawa para penghuninya, ketenangan di ruang santai, kegembiraan di ruang tamu, hiruk-pikuk di sana-sini, terbayang di matanya warna-warni penuh ceria menghiasi kehidupan penghuni-penghuni mahligai itu. 

Dia tersentak, pahat ditangan menghentak jari. Sakit dirasa membawanya duduk berehat di kerusi. Mengerling dia pada pondok yang hampir siap, pondok tanpa bilik tanpa ruang, hanya muat untuknya seorang, kerana di situ hanya ada dia, menyendiri, keseorangan.

Berkali-kali lagi dia menatap ke arah mahligai indah di sempadan itu. Mahligai yang dulunya ceria dan hiruk-pikuk, kini dilihatnya suram tanpa cahaya, sunyi tanpa suara, tiada lagi berpenghuni, hampir sama saja dengan pondok usangnya tiada beza, kerana......

...... kerana penghuni mahligai usang itu, kini sedang memahat sebuah pondok usang di sempadan mahligainya, kerana dia sudah tiada berteman lagi, hanya tinggal seorang diri, keseorangan, kesepian, kini dia menyendiri lagi, menyendiri lagi... 

LIRIK : Dadali - Menyendiri Lagi (Di Saat Aku Mencintaimu)



mengapa kau pergi, mengapa kau pergi
di saat aku mulai mencintaimu
berharap engkau jadi kekasih hatiku
malah kau pergi jauh dari hidupku

menyendiri lagi, menyendiri lagi
di saat kau tinggalkan diriku pergi
tak pernah ada yang menghiasi hariku
di saat aku terbangun dari tidurku

reff:
aku inginkan dirimu datang dan temui aku
kan ku katakan padamu aku sangat mencintai dirimu
aku inginkan dirimu datang dan temui aku
kan ku katakan padamu aku sangat mencinta

menyendiri lagi, menyendiri lagi
di saat kau tinggalkan diriku pergi
tak pernah ada yang menghiasi hariku
di saat aku terbangun dari tidurku

repeat reff
semoga engkau kan mengerti tentang perasaan ini
maaf ku telah terbuai akan indahnya cinta
maaf sungguh ku tak bisa untuk kembali padamu
maaf ku telah terbuai akan indahnya cinta

repeat reff
aku inginkan dirimu datang dan temui aku
kan ku katakan padamu aku sangat mencinta

Monday, 6 June 2011

MUKTAMAR 2011. SENDIRIAN

Pada hari terakhir muktamar, aku hanya memperuntukkan masa untuk berjalan-jalan di sekitar gerai jualan. Tetapi, suasana di muktamar ini benar-benar mencuit perasaanku. Sejuta impian yang menjadi kenangan kini menjelma kembali. Sewaktu melihat ada ibu ayah yang datang membawa bersama-sama anak mereka, itulah saat paling memilukan hatiku.
Dulu, aku pernah mengimpikan untuk pergi ke kuliahnya dengan membawa bersama-sama anak kami. Aku mahu memberi sokongan kepada suami agar lebih bersemangat ketika memberi kuliah, dan akan aku ucapan "terima kasih" setiap selesai pengajian, tanda terima kasihku untuk setiap ilmu yang disampaikannya. Aku juga mahu dia tahu bahawa aku sentiasa bersyukur mempunyai suami yang berilmu, dan aku tak mahu hanya membiarkan orang lain sahaja yang mendapat manfaat daripada ilmunya. Aku mahu anak-anak menjadikan bapa mereka sebagai guru pertama yang mengenalkan mereka kepada Allah dan RasulNya saw. Biarlah anak-anak menjadikan bapa mereka sebagai idola, sebagai guru yang disegani ketika memberikan kuliah, dan sebagai ayah sangat penyayang ketika berada di rumah. Semoga anak-anak akan menjadi pewaris ayah, mewarisi ilmu dan kemuliaan ayah. Tetapi itu adalah impian suatu masa dulu.

Aku juga mengimpikan untuk pergi ke majlis-majlis ilmu dan program jemaah bersamanya, dan bersama anak-anak kami. Biarlah anak-anak terdidik sebagai keluarga pejuang dan daie, biar mereka berhibur di pentas dakwah dan ceramah, biar mereka membesar dalam halaqah usrah dan zikir, biarlah taman permainan mereka adalah medan tarbiyah dalam mengingat dan menuju Allah. Tetapi segala impian itu kini hanya menjadi kenangan. 

Sayu hatiku melihat jubah-jubah lelaki yang cantik-cantik bergayutan di gerai-gerai jualan. Ingin sekali rasanya menyentuh dan membeleknya, tapi untuk apa? Ingin sekali hatiku membelinya, untuk dia, untuk dia, tapi untuk apa? Dia tidak lagi akan bersamaku. Tiada berguna lagi segala pemberianku. Melihat jubah kanak-kanak lelaki, aku membayangkan akan memakaikannya pada anak lelaki kami setiap kali dia mengikut ayah pergi mengajar, tetapi itu semua bayangan-bayangan yang semakin merosakkan jiwaku.

Dalam pada itu, aku singgah di satu gerai jubah muslimah. Sedang aku menjamu mata membelek-belek pakaian di situ, mataku tertancap pada seorang pengunjung gerai, lelaki, separuh umur, masih muda tetapi rasanya hampir tua, sedang asyik membelek-belek jubah wanita. Mataku benar-benar tertarik untuk memerhatikannya, kerana dia satu-satunya lelaki yang masuk ke gerai itu tanpa ditemani wanita di sisinya. Dia membelek-belek, memerhati, memilih, bertanyakan saiz, sungguh lama dan teliti. Sedikitpun dia tidak memperdulikan wanita yang ramai dan sesak di sekelilingnya, malah memilih dengan keterujaan dan sepenuh hati. Ternyata, rupanya dia sedang memilih jubah untuk dibelikan buat isteri tercinta. Hampir saja aku menahan air mata yang ingin mengalir.... Tuhan, aku terlalu merindukannya... Tulusnya cinta si suami yang sentiasa mengingati isterinya, membelikan sesuatu buat kekasih hati dengan sepenuh hati.

Meskipun dia tak pernah membelikan sesuatu khusus buatku, tapi dia sering berjanji untuk sama-sama berjalan dan membeli setelah kami menjadi suami isteri yang halal nanti. Meskipun dia tak menjanjikan untuk membeli yang mewah-mewah dan berjalan melancong ke tempat indah-indah, aku tetap bahagia menantikan saat itu, saat aku dapat berjalan dan memilih untuk membeli sesuatu bersama-samanya dengannya, berdua dengannya, meskipun hanya membeli di kedai kecil atau di kaki lima. Ya Allah, kenapa aku tak mampu lari dari bayangannya? Biarlah kekal begini, biarlah selamanya dia di ruangan kecil di hatiku, aku tak ingin mencampaknya jauh, aku tak mampu dan tak ingin...

Akhirnya, gerai terakhir yang aku singgah, adalah gerai minyak wangi. Kali ini, tak daya ku menahan perasaan, akhirnya aku membeli sebotol kasturi kijang putih untuknya.... untuknya... meski hanya akan tersimpan dalam laci almari, ia adalah untuknya!!!

PERPISAHAN.

Hari ini aku telah membuat satu keputusan dalam perhubungan ini. Aku telah memutuskan pertunangan kami. Sama ada aku melepaskannya pergi, atau aku meninggalkan dirinya, kedua-duanya sama menyiksakan. Aku tahu, selama kami berhubungan, masanya banyak terluang buatku, sedangkan dia seorang pejuang dan pendakwah. Biarlah aku lepaskannya agar dia boleh melupakan aku, dan menumpukan seluruh hati dan hidupnya untuk tanggungjawabnya yang lebih besar. Aku mahu menjadi sayap kiri perjuangannya, tapi mungkin bukan masanya lagi. Mengambil keputusan ini memang terlalu menyakitkan. Kalau dulu, Jumaat menjadi hari paling menyedihkan dalam hidupku (kerana setiap hujung minggu dia ada tanggungjawab lain), tetapi kini setiap hari adalah hari yang menyedihkan buatku. Aku terpaksa menjalani hidup yang penuh sunyi, terlalu sunyi tanpanya. 

Aku berasa bangga apabila pada awalnya, aku melafazkan niatku ini dengan begitu tegas dan yakin, dan aku berharap dia juga berbangga denganku, kerana aku umpama seorang wanita tabah dan kuat, tidak sedikitpun berasa lemah atau sayu. Sedikitpun aku tidak menitiskan air mata tatkala mengharungi saat-saat getir itu, malah aku begitu bersemangat untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Ya, aku, kuat, aku tabah, aku harap dia turut berbangga. Mungkin melihatkan itu, dia juga menerima keputusanku dengan terbuka dan lapang dada. Dia tidak merasakan sebarang penyesalan apalagi kesedihan. 

Namun, saat demi saat, minit demi minit, aku menyesal menjadi seorang wanita yang tabah dan kuat. Kalaulah aku seorang yang lemah, menunjukkan kesedihan dan kelemahanku, pasti dia tidak akan membiarkan aku membuat keputusan ini, pasti dia juga segera menolak keputusanku ini, dan yang lebih pasti, dia akan terus menguatkan diriku yang lemah dengan kata-kata semangatnya tanpa jemu. Aku cepat melatah, sebab itu aku pernah mohon agar dia tidak menerima sebarang keputusanku yang dibuat saat aku dalam tekanan atau kesedihan. Barangkali dia lupa, barangkali dia lupa.... :-( Malah kini, dia menyokong keputusanku andai itu yang terbaik aku fikirkan...

Keputusan telahpun dibuat. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata......... Barangkali, ada hikmah yang sangat besar di sebalik perpisahan ini. Mungkin ia akan lebih mendekatkan dirinya dan diriku terhadap Tuhan, mungkin juga dia boleh lebih menumpukan masanya dalam kerjanya sebagai da'ie ilallah... Siapa tahu, dengan perpisahan ini akan lebih mentautkan hati kami dengan Tuhan..impian paling besar yang kami bina bersama di saat permulaan hubungan kami...

LIRIK : 6ixth Sense - Menyesal

 

Tak pernah ku fahami ertimu padaku
Tak pernah ku mengerti hadirmu untukku
Rasa yang pernah kau bagi, Cinta yang telah kau beri....
Setelah ku terjatuh baru ku sedari
Betapa kau kekasih hingga hujung hati
Rasa yang setia menanti, Cinta yang tak akan pergi...

Menyesal ku akui tak terima cintamu
Dan kini engkau pergi meninggalkan hidupku
Terlambat ku akui berertinya dirimu
Kerna hanya dirimu sambut cinta, Penawar peritku
Hanya dirimu, Tulus cintaku

Menyesal ku akui tak terima cintamu
Dan kini engkau pergi meninggalkan hidupku
Menyesal ku akui tak terima cintamu
Dan kini engkau pergi meninggalkan hidupku
Terlambat ku akui berertinya dirimu
Kerna hanya dirimu
Sanggup cinta penawar peritku
Sanggup cinta pengusap tangisku
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

AddThis